Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk  diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau  malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan.  Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum  Zionis.
 Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari  'malapetaka' pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu  di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu  kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang  sama-sama kita rasakan.
 Tetapi apa sangkut pautnya  malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas  hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan  bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan  dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.
 Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan  kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang  airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan.  Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun  boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.
 Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi  sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke  arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak  ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita  lebih dari ini.
 Kini biar saya bawa pula ke zaman  sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis  telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman.  Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot - diambil  daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua.  Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap  dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis  Maginot.
 Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler  mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya  kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke  Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh  soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9  Julai kita lebih dari ini.
 Biar saya bawa pula para  pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab.  Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah  berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera.  Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua  kapal yang membawa bala tenteranya.
Tariq ibni Ziyad  telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka  terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk  diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki  pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu  pilihan - iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih  dari ini.
 Sekarang mari kita sama-sama melihat  kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai  hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai  yang ambil pot.
Lawak menjadi seram
Ada  komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa  berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada  sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular  dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk  perasaan ini bukan budaya kita.
 Semua hujah-hujah  ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan  presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku  apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan  presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan  raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan  Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.
 Biar saya  terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk  meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan  strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu,  presiden atau perdana menteri, semua menggunakan 'takut' sebagai alat.  Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani  bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan  dijadikan kuli batak.
 Apa yang telah dilakukan oleh  Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk  menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk  menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat  bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju  telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik  gerak kerja orang suruhan.
 Tidak cukup dengan  tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para  pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus  menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita  di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup  dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam  empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan  Tembak.
 Taktik untuk menakutkan orang ramai ini  dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya  Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter  dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam  dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.
 Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National  Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita  yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan  raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.
 Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti  Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan  Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and  sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib  telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.
Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa  hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah  melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong  telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya  difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang  jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak  dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.
 Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf  yang disebarkan oleh 'desas bin desus'. Ada cerita tetang tangkapan ISA,  tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan  beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin  Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun  untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan
 Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000  warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk  saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun  pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa  saya berkata sedemikian?
 Mungkin ramai yang tidak  sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9  Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi 'Garis  Takut'. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang  telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.
Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan  untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah  ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah  sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga  telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua  mereka telah melintasi Garis Takut.
Garis Takut ini  juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini  telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu  hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun  ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini  dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.
 Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda - anak semua  bangsa - tidak ambil pot langsung terhadap Pekasa, polis,  tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis  Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.
 Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua - para  penyokong Bersih - telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon.  Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara  mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.
 Pasti ada  yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang  lalu?
 Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita  bakar pada 9 Julai ialah 'Kapal Kerajaan Perpaduan'. Seperti Tariq ibni  Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk  mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala  angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan  kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan  di Menara Maybank.
 Tembakan gas pemedih mata di  terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan  perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta  polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.
 Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah  melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini  kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang  memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak  31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah  Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.
No comments:
Post a Comment