Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan  disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah  tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab.  Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati  kembali hari musibah ini.
Semenjak 15 Mei 1948 warga  Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka  dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi  dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari  kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.
Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31  Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah  Malapetaka.
Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari  Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa  warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang  dialami oleh Nakba di Palestin.
 Untuk memahami  kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para  pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya  dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan  huruf M besar ini.
Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch  1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung  Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian  Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani,  Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam  hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa  kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung  Tanah Melayu.
Perjanjian Pangkor ini akhirnya  membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah  Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan  lagi East India Company.
Penjajah Barat datang untuk  mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan  bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi  begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.
Setiakawan melawan penjajah
Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum  penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari  Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh  kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini  maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.
Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak  dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di  sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan  mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh  pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut  kemerdekaan Tanah Melayu dari British.
Pada ketika  ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika  itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura,  Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Penentangan terhadap  penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan  setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah  kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina.  Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.
Kesampaian  Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam  masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk  menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera  Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army  telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.
Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali  lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih  pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu  kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.
Kini  gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran  di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),  Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini  adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau  British dari Tanah Melayu.
British secara licik dan  terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United  Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang  dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan  United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia  muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu  menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini  diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.
Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah  British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah  dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama  setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi  massa Melayu bernama PUTERA.
Semua  bangsa dipanggil Melayu
Perlembagaan Rakyat  1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam  Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan  dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah  Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal.  Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang  kekuatan kuasa kolonial British.
Untuk menumpaskan  agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui  gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan  "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan  ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk  menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.
Gerombolan  United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah  memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan  India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik  untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan  PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan  AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang  memanggil diri mereka Melayu.
Projek Perlembagaan  Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948  pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini  telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic  Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua  bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah  Melayu.
Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca  telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para  pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay  National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian  Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya  kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah  British.
Mari kita lihat apakah yang telah dibuat  oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu  pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya  yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah  membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun  berjuang menentang orang yang menentang British.
Jjika  tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos  ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka  kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan  membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British.  Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang  komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan  British.
Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid  Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh  United Malaya National Organisation?
Tidak berkesudahan
 Sejarah  jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah  bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan  British ini.
Ketika anak semua bangsa bangun melawan  British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National  Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.
Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang  setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran  Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos  inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini  adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari  tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah  Melayu.
Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari  Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak  perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin  dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan  ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.
Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan  hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir  tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang  ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.
Malapetaka  ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa  menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA  pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH  ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.
Berapa  ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah  saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang  telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng  Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok  tambah. Malapetaka ini masih berterusan.
Bulan Ogos  kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10  Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500  tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam  sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.
Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba  di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala  Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan  British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di  Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United  Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah  sejarah.
No comments:
Post a Comment