Menurut Budayawan A Aziz Derawan  yang dipetik daripada Berita Harian bertarikh 28/04/2011,  menjelaskan betapa kehidupan berbangsa itu ditunjukkan sifat jati diri  menerusi persamaan lambang, institusi nasional, perundangan, nilai  kebangsaan yang dikongsi bersama, kesetiaan politik dan rasa keyakinan  diri sebagai satu bangsa. 
Menurutnya lagi, elemen nilai  akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, liberal bertoleransi dalam  konteks penerimaan, adil dan saksama yang bermakna tidak semesti  kesamarataan, progresif dan makmur, serta daya saing, daya tahan,  tangkas dan dinamis.
Demokrasi dan  Partisipasi Golongan Muda
Sistem politik sesebuah  negara seharusnya menggalakkan golonga muda menyertai proses demokrasi  dengan aktif. 
Dalam konteks ini, penglibatan golongan  muda dalam sistem politik berdemokrasi secara langsungnya melibatkan  hak mereka sebagai rakyat Malaysia serta bentuk ruang yang diberikan  untuk mengalakkan penglibatan mereka yang seterusnya mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh  pemerintah atas dasar kepentingan masyarakat sivil. 
Di  Malaysia. partisipasi golongan muda dalam sistem berpolitik demokrasi  masih terhad akibat dicengkam dengan pelbagai macam dasar dan  undang-undang yang diimplementasikan oleh golongan pemerintah yang dalam  erti kata tidak lain tidak bukan hanya semata-mata mahu untuk  memastikan status-quo pemerintah tidak dicabar dalam apa cara sekali  pun. 
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971  merupakan bukti tunjang bagaimana para pembuat keputusan gagal dalam  mengisythiarkan hak berdemokrasi di kalangan golongan muda di peringkat  akademik. 
Inilah yang akhirnya dilihat sebagai membantutkan  penglibatan golongan muda dalam membangunkan masyarakat sivil di negara  ini.
Di satu pihak, Bersih 2.0 membuktikan bagaimana  semangat golongan muda mewarnai perhimpunan tersebut yang pastinya  merupakan satu fenomena yang unik dalam sistem demokrasi negara ini. 
Ini kerana golongan muda ini tidak mewakili mana-mana parti  politik tetapi apa yang mereka mahukan ialah partisipasi mereka dalam  sistem demokrasi di negara ini diiktiraf oleh pemerintah. 
Menariknya,  pemerintah selalunya hanya mendekati golongan muda secara agresif untuk  mendapatkan undi semata-mata tetapi tidak pernah memberikan ruang untuk  mereka berpolitik secara demokratik.
Bagi golongan muda  ini, apa yang mereka mahukan ialah sebuah sistem kerajaan dengan sebuah  pemerintah yang bukannya bersifat kebal dan kejam sebaliknya bertindak  sebagai satu bentuk komuniti yang bukan sahaja mendengar luahan rakyat  semata-mata tetapi mengambil berat akan isu tersebut.
Inilah  demokrasi namanya bagi golongan muda. 
Jika andaian bahawa  demokrasi melibatkan dua entiti yang berlainan iaitu yang majoriti  (pemerintah)  akan menjaga minoriti (rakyat) dengan syarat bahawa  minoriti perlu taat terhadap majoriti, itu bukannya demokrasi.
 Apa pendefinisian mutlak untuk 'menjaga'? 'Taat' yang bagaimana  yang perlu ditunjukkan oleh rakyat terhadap pemerintah? Andaikata  golongan muda diberikan ruang untuk terlibat dalam proses demokrasi  dengan adil dan tanpa sebarang cengakaman kuku besi maka kita boleh  andaikan bahawa itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan jati diri  dan budaya bangsa di negara ini.
Perpaduan
1Malaysia dan penerapan nilai ini di kalangan orang muda bukannya  sesuatu yang mudah seperti apa yang difikirkan oleh pemerintah. 
Mengapa sekarang baru kita hendakkan 1Malaysia? Bukankah 1Malaysia  telahpun dipraktikkan daripada zaman nenek moyang kita lagi?
 Apa yang sukar untuk diterima akal pemikiran waras ialah  bagaimana isu perpaduan ini dicanangkan demi untuk menakutkan rakyat dan  seterusnya mengukuhkan pemerintahan yang ada sekarang. 
Sama  ada sedar ataupun tidak, perpaduan di antara setiap insan di bumi yang  dipijak ini sememangnya utuh dan tidak dapat dihancurkan oleh sesiapa  jua namun perpaduan ini jugalah menjadi alat politik para politikus yang  gemar menjadikannnya isu demi untuk mengekalkan kuasa dan  pemerintahannya. 
Apa gunanya 1Malaysia sekiranya saban hari  kita terpaksa melayan kerenah dan tuntutan badan pendesak berasaskan  kaum yang juga dilihat bukannya untuk kepentingan kaum mereka tetapi  untuk mengekalkan hegemoni politik mereka.  
Jika benar  andaian bahawa perpaduan dikalangan golongan muda sudah rapuh dan berada  pada tahap yang boleh menganggu gugat kestabilan negara bangsa itu  sendiri, persoalan utama kini disandarkan pada matlamat pelaksanaan  Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
 Bermula pada  Disember 2003, selepas lebih tujuh tahun, apa bentuk kejayaan yang dapat  dirangka daripada PLKN ini? 
Bukankah kini perpaduan sudah  tidak seharusnya menjadi satu isu negara lagi memandangkan hampir  berpuluh ribu bekas pelatih PLKN yang berada di luar sana sudah mampu  menghayati Rukun Negara dan memiliki jati diri yang mapan yang  seterusnya dapat mengalakkan kepada pembentukkan sebuah negara bangsa  yang harmoni? Ke mana arah tuju sebenar PLKN ini? 
Ada  kecenderungan di kalangan ahli akademik di negara ini yang berpegang  teguh kepada pandangan J.S Furnival dalam bukunya yang bertajuk Colonial  Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Nertherlands  India(1956) yang menyalahkan dasar pihak British ketika era pascamerdeka  iaitu dasar 'pecah dan perintah' yang menyaksikan pengasingan kaum  dalam konteks ekonomi negara ketika itu. 
Hujah inilah yang  menjadi pegangan kuat para ahli akademik di negara ini yang lebih selesa  untuk tidak melihatnya secara kritikal. 
Sama ada sedar  atau tidak, dasar 'pecah dan perintah' ini sengaja terus diamalkan dalam  usaha untuk memastikan setiap etnik penduduk dinegara ini bercampur  tetapi tidak akan bergabung atau dalam erti kata lain hanyalah bersifat  seperti salad bowl.
 Langkah ini dilihat amat penting bagi  pemerintah untuk memastikan golongan etnik dinegara ini lebih menumpukan  kepada kepentingan etnik mereka semata-mata dan seterusnya mengehadkan  penyertaan mereka dalam sistem politik demokrasi di negara ini. 
Ini berbeza dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan  Britain yang menerapkan konsep melting pot menyatukan dan meleburkan  etnik utama dan minoriti bersama-sama dengan satu bahasa dan budaya  dalam usaha untuk membentuk perpaduan kaum. 
Sama ada salad  bowl atau melting pot, ia bergantung sepenuhnya kepada  sistem politik pemerintah itu sendiri. 
Sistem politik dan  pengagihan ekonomi yang berasaskan kaum tetapi pada masa yang sama  mempromosikan 1Malaysia. Ini namanya demokrasi? 
Bumi sudah dipijak, izinkan kami menjunjung langit  dengan bebas!
Sistem politik berasaskan etnik dilihat  menguntungkan golongan pemerintah sahaja dalam usaha menjadikan  perpaduan sebagai modal propaganda dalam meraih simpati golongan muda di  negara ini. 
Namun, Bersih 2.0 adalah bukti bagaimana  golongan muda pelbagai ras berhimpun bersama tanpa sedikit pun rasa  was-was sesama sendiri, mengetepikan segala fahaman politik kotor yang  cuba memecah belahkan sesama mereka dan paling penting, Bersih 2.0  adalah bukti betapa golongan muda dahagakan sebuah demokrasi yang tulen  di negara ini. 
Golongan muda ini sedar bahawa jurang  ekonomi diantara yang kaya dan miskin bukan sahaja luas tetapi makin  mendalam. Sesuatu perlu dilakukan dalam usaha merapatkan kembali jurang  tersebut. Jika ada tuduhan yang mengatakan bahawa golongan muda di  negara ini tidak berpijak di bumi nyata maka itu tidak lebih daripada  satu tuduhan liar semata-mata.
 Para pemuda-pemudi sudah  berpijak pada bumi ini, cuma apa yang mereka inginkan ialah izinkan  mereka untuk menjunjung langit ini dengan bebas atas dasar demokrasi  tanpa sebarang sekatan dasar dan undang-undang serta fahaman politik  yang meracuni jati diri dan budaya bangsa mereka sebagai bangsa  Malaysia! 
No comments:
Post a Comment