Di negeri Arab Palestin berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum  Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestin dari tanah air  mereka. Meleleh air mata orang Palestin melihat tanah-tanah mereka  dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.
Kesedihan  orang Palestin itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu  ini telah juga mendapat Nakba atau malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila  penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan  United Malays National Organisation dan suku-sakatnya.
Inilah malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah  malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia  ini. 
Semenjak malapetaka ini sampai, hampir setengah  kurun yang lampau, orang Melayu telah dibodoh-bodohkan. Orang Melayu  telah digula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampun,  inilah malapetaka. Inilah Nakba. 
Adalah hendak  dijadikan cerita, hamba hanyalah tok perawi yang membawa kisah dari  mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah  ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri. 
Telah terdengar kisah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika  mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli  undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka  ditipu dalam pilihan raya setiap kali.
Maka nujum dan  pawang pun dipanggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih  saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang. 
Ketika  matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari-hari  terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat  dengan saat dan ketika. 
Saat itulah saat gembira.  Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke  jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang bersih disalut  oleh hati yang bersih.
Bila berita pecah terbuka.  Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun  lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita. 
Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana  rakyat telah berani bangun bergegak gempita.
Maka  dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka  dikumpulkanlah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka  gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara  lama yang telah biasa. 
Pemikir dan soldadu mendapat  upah, mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang  telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar  ini perlu dibodoh-bodohkan.
Mengikut orang dalam yang  empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan  munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya  ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang mamat  masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata. 
Adalah mengikut surah ini si mamat ini bangang lagilah  bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng, mukanya  pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping  hinggakan nampak perut terbarai dan buntut tersadai.
Si  mamat ini disurahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang  sulit. Bukan di celah kangkang atau di dalam parit tetapi ditepi busut,  di sebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat mat pet berjual beli. 
Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang  kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri.  Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang-layang  memenggal leher ibu dan abang.
Tidak cukup dengan  kisah bom dan parang di tepi Sogo, datang pula kesah seorang mamat sudah  tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun. 
Bukan  di Kerinchi, bukan di Pandan tetapi di Keramat yang jauh tidak jauh  dari jalan. Tempat terletak di sebelah kuil Cina. Mengikut kisahnya, si  mamat ini sedang berusaha menanam parang, bom dan senjata.
Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kisahkan lagi. Inilah cara,  inilah gaya, inilah teknik, inilah strategi untuk menakut-nakutkan  rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya. 
Adalah bom, adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan.  Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya bersih  membawa senjata.
Inilah tipu, inilah helah. Inilah  rupa kerja manusia yang di waktu siangnya dia menipu, di waktu malamnya  dia menjarah. Biarlah di sini hamba memanjangkan surah. Wahai abang-  abang dan kakak-kakak, sila lihat, sila perhatikan gambar parang dan  gambar 
molotov. 
Aduhai bodohlah SB yang  makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Jangan beli  parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Serumpun macam  baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar. 
Tidak cukup dengan ini, tipu helah gerombolan terbongkarlah  sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah lebai  Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang 
molotov cocktail,  carilah surah. 
Bangang terserlah mengarahkan SB  membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang  wahai menteri Hishamudin. Molotov cocktail perlu botol kaca. Botol  plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.
Aduhai  segala hamba Allah, berita yang dirancang oleh gerombolan semua menjadi  berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa  penutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung sang  puteri. 
Apakah otak, apakah yang salah. Adalah SB  bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hamba yang menjadi tok perawi kini  jadi serba salah. Nak menangis pun ada, nak tersenyum pun salah.
Tidak cukup dengan ini, seantero negeri pun mula  diberitahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di  Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berlegar liar. Jalan di  kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta diperiksa. 
Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta digeledah macam  anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut  rakyat yang sudah bijak bermadah.
Maka akan  tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah  didengar khabar berita bagaimana ada jeneral, ada yang mula berkata,  tugas tentera bukan untuk gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat, orang  kampung, sanak saudara, sahabat dan taulan. 
Mengikut  tuan yang empunya ceritera, apabila Najib diberitahu duduk perkara. Dia  pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih, kejap berjanji  memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak  ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.
Hambo  sebagai tok perawi tidak mahu berlagak sombong. Hamba hanya berniat nak  menyambung cerita. Ibu bapa, adik dan kakak jangan senyum, tapi  ketawalah terbahak-bahak. Hamba nak royak kisah kumpulan Perkasa yang  bukan main ribut melahak-lahak. 
Bingar bising macam  halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat  onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun  menyahut. 
Semua mula berkata: "Kami tak takut."
Auta Perkasa sudah terserlah. Maka geng silat pula masuk  mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak. Jangan  menuduh hamba ini tok perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat  cerita yang telah menjadi sejarah kita. 
Perkasa  lesap hilang entah ke mana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang  tetapi sudah tersalah. Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng  silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir, berkelintau  memukau, akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.
Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hamba diberitahu mereka  semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul  maka menantu ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangladesh diberi upah  pakai baju merah. 
Tak cukup dengan Mat Bangladesh,  si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai, mereka  semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.
Kepada  cucu-cicit yang akan datang zaman berzaman, marilah kita belajar dari  alkisah ini. Hendaknya kisah ini akan turun temurunlah. Hendaknya  disurahkanlah dari mulut ke mulut, dari laman ke laman, dari blog ke  blog, dari Twitter ke Twitter.
Di akhirnya, ini hamba  sebagai tok pewaris ingin mengundur diri. Hamba di sini merakam sejarah  untuk anak segala bangsa. Nakba dan malapetka tidak akan kita tangisi.  Rakyat sudah berani bangun untuk melawan. 
Dengarlah  wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan  lagi takut. Datanglah taufan, datanglah Perkasa, datanglah silat,  datanglah Patriot. 
Semua ini hanya kentut-kentut  hangat. Setelah malapetaka busuk ini, pergi Bersih akan menyusun lagi.  Kalau lapan tuntutan tidak apa-apa, Bersih akan turun ke jalan sekali  lagi.