Nun di hadapan berdiri tegak tubuh-tubuh menongkah langit dengan keris  yang menjulang. Hari itu menjadi saksi sejarah perjuangan, hadiah tidak  ternilai kepada sebuah pengorbanan. 
Bergembiralah  Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan Datuk Maharajalela. Bergembiralah  Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Bakir dan Onn Jaafar. Bergembiralah  segenap baka yang mewarnai perjuangan itu, rebah segala resah tatkala  bergema kalimah Merdeka!
Namun hari ini segalanya  termaktub di dalam lembaran, hikayat dan sejarah. Bait-bait yang  membentuk ceritera-ceritera perjuangan kemerdekaan berseni sebagai  tinggalan usang. 
Cakerawala sangat gundah semakin  dingin dibawa arus kemajuan. Lantas pesta 31 Ogos seakan-akan jasad  kosong yang tidak berjiwa dek kerana bayang-bayang hitam yang membenam  dan membunuh roh 1957.
Anak kecil terbiar di jalanan.  Pemuda, pemudi bermain dengan maruah seakan-akan mainan. Fitnah  mencaci, fitnah menganiaya menjadi rutin kehidupan. Inilah fantasi  rekaan barat yang diterima sebagai anutan!
Andai  Tuhan menyingkap tirai kehidupan hari ini, lantas dipamerkan kepada  mereka yang telah tiada, pasti sebak jiwa mereka dengan kekesalan,  tersentak perasaan dengan seribu kekecewaan. 
Adakah  ini generasi mereka? Apa salah mereka hingga ini menjadi natijah? Atau  ini sememangnya hadiah yang tidak berperikemanusiaan, atau lumrah zaman  yang sememangnya kejam. Apakah ini sebenarnya refleksi sebuah  kemerdekaan?
Namun harus diingat, segalanya bermula  pada hari itu. Kemerdekaan yang disanjung, kemerdekaan yang ditatang dan  kemerdekaan yang di perjuangkan, adakah ini semua mempunyai sebuah  nilai yang tidak terhingga?
Ayuh kita nilai kembali  apresiasi sebuah kemerdekaan yang kini dilihat seakan-akan sudah tidak  bermaruah buat anak bangsa Malaysia. Mari kita singgap sejenak nilai  kemerdekaan yang telah diperjuangkan dengan kudrat dan darah oleh bangsa  terdahulu dan kini ia semakin dipandang sepi oleh anak muda pasca  kemodenan.
Sejarah Kemerdekaan Menyembunyikan Tokoh-Tokoh TertentuTidak  dinafikan di dalam lembaran-lembaran dan hikayat sejarah perjuangan dan  kemerdekaan negara, ia pernah dibasahi dengan darah dan keringat  pejuang-pejuang terdahulu. 
Namun begitu malang  sekali apabila terdapat beberapa batang tubuh tokoh perjuangan  kemerdekaan yang cuba untuk disembunyikan daripada tatapan dan pandangan  masyarakat umum.
Pasca tahun 1945 hingga tahun 1948,  ketika pertembungan sengit antara bangsa Melayu dan pihak British, ada  sosok tubuh tokoh-tokoh tertentu yang begitu hebat memerah kudrat bagi  meraih kemerdekaan Tanah Melayu.
Namun di mana  letaknya nama-nama mereka di dalam lembaran-lembaran dan teks-teks  sejarah negara di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat  universiti. 
Di mana letaknya nama-nama tokoh kemerdekaan Dr  Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestaman, Ishak  Muhammad, Ibrahim Yakob mahupun Shamsiah Fakeh di dalam sejarah  perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu?
Mungkin ada  nama-nama mereka yang diselitkan di dalam lembaran sejarah kemerdekaan  negara namun apakah cerita yang disampaikan mengenai mereka? Adakah  hak-hak mereka telah diadili dengan sebenarnya di dalam ceritera sejarah  negara kita?
Hinggakan adik-adik di peringkat  sekolah menengah, bahkan anak muda-anak muda di peringkat universiti  tidak mengenali siapakah tokoh kemerdekaan Burhanuddin, Abu Bakar  mahupun Ahmad Boestaman. 
Apabila disebutkan nama  tokoh-tokoh kemerdekaan ini, jiwa generasi muda kita tidak tersentuh,  hati mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengorbanan yang telah  diperjuangkan oleh tokoh-tokoh tersebut.
Mungkin juga  nama-nama mereka cuba disembunyikan daripada tatapan umum kerana mereka  bukanlah se-bahtera dengan mereka yang kononnya sebagai pemencak utama  di dalam lapangan kemerdekaan. Ataupun nama mereka cuba disembunyikan  kerana ada cerita sebenar mengenai kemerdekaan negara kita yang cuba  dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
Jika benar  kemerdekaan negara kita ini suci, jika benar kemerdekan negara kita ini  bermaruah, jika benar kemerdekaan negara kita ini bernilai, mengapa  perlu ada tokoh-tokoh yang cuba disembunyikan daripada tatapan  masyarakat umum ?
Sejarah Kemerdekaan Mencemarkan Bangsa Melayu
Persepsi  ini mudah. Ayuh kita buka dan lihat lembaran-lembaran sejarah  kemerdekaan, teks-teks sejarah di peringkat sekolah menengah,  video-video kemerdekaan dan kita lihat berapa ramai bangsa Melayu yang  memenuhi stadium-stadium, yang membanjiri padang-padang, yang mendengar  di corong-corong radio sambil mendengar dan menyambut laungan Merdeka  dan kita lihat siapa yang berada di atas pentas pengisytiharan  kemerdekaan.
Mengapa masih ada seorang bangsa yang  berkulit putih, yang bertopi putih duduk di atas pentas kemerdekaan  sambil memerhatikan Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat  Merdeka dari belakang dan melihat bangsa Melayu yang duduk di bawah.  Cukup simbolik!
Adakah benar negara kita sudah  merdeka? Jika benar negara kita sudah merdeka, halau sahaja si kulit  putih itu dari atas pentas kemerdekaan. Namun ia tidak berlaku. 
Si  kulit putih itu tetap berada di atas pentas kemerdekaan, gambar-gambar  dan hikayatnya telah tercatat di dalam lembaran sejarah negara kita dan  20 tahun akan datang, 30 tahun akan datang si kulit putih itu akan tetap  akan berada di dalam sejarah kemerdekaan negara kita.
Cukup ironis. Persoalannya, di mana nilai sebenar kemerdekaan negara kita?
Kemerdekaan Menjatuhkan Maruah Pejuang Terdahulu
Kita  sering kali mendengar nama-nama tokoh pejuang terdahulu seperti  Bendahara Paduka Raja, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk  Maharajalela dan Datuk Bahaman yang sering menggunakan kalimah, "akan  mempertahankan tanah ini hingga titisan darah yang terakhir".
Biar  dada tembus dengan tombak penjajah, biar badan dihujani peluru musuh,  tanah ini akan tetap dipertahankan walau cuma seinci. Begitu suci dan  mulia perjuangan dan pengorbanan mereka.
Namun tahun telah beralih, zaman juga sudah semakin maju hinggalah ke pasca tahun 1957. Jiwa perjuangan telah banyak berubah. 
Toleransi  demi toleransi, diplomasi demi diplomasi telah banyak mewarnai kancah  perjuangan kemerdekaan pada ketika itu hingga generasi muda seakan-akan  alpa apa sebenar erti sebuah perjuangan. Namun hakikatnya, toleransi  yang di garap telah melampaui batas-batas perjuangan.
Mereka  bertoleransi dengan golongan yang dahulunya telah membunuh  pejuang-pejuang yang lampau. Mereka bertoleransi dengan golongan yang  dahulunya telah menghalau pejuang-pejuang terdahulu. 
Lalu kemerdekaan diterima dengan cara yang amat mudah daripada tangan-tangan kotor tersebut. Inilah potret perjuangan 1957. 
Juga persoalan ingin diungkapkan. Apa nilai sebenar kemerdekaan negara kita?
Signifikan Kemerdekaan Yang Memalukan Negara
Usah  bicara soal kebebasan, usah bicara soal demokrasi, usah bicara soal  hak-hak individu, usah bicara soal keadilan, usah bicara soal autonomi  universiti, usah bicara soal kebebasan akademik jika kemerdekaan yang  kita perjuang dan pertahankan selama ini tidak melambangkan erti sebenar  sebuah kemerdekaan.
Kemerdekaan sendiri telah  menutup ruang kebebasan, kemerdekaan sendiri telah memalukan bangsa  Melayu dan kemerdekaan sendiri telah mencemarkan nilainya. 
Jangan  diharap bulan jatuh ke riba, selagi adanya satu 'bayang-bayang" yang  telah mengotori sistem negara ini tidak kita musnahkan, selagi itu  kemerdekaan hanya akan tinggal sebagai kemerdekaan!
Buat  para anak muda Malaysia, segala yang diungkapkan di dalam hikayat ini  bukanlah antipati sebenar sebuah kemerdekaan negara kita namun ia  hanyalah satu garapan idea dari sisi pandang yang sedikit berbeza yang  seharusnya kita kupas bersama dan kita sebagai anak muda semestinya  harus memikirkan apa yang seharusnya kita lakukan demi menjamin  eksistensi perjuangan dan pengorbanan bagi meneruskan nafas sebuah  kemerdekaan.